Penulisan di bawah merupakan tugasan kerja kursus bagi subjek "Guru dan Cabaran Semasa" atau EDU 3093 yang telah saya lakukan.
Tangani stress anda! :)
TEKANAN
EMOSI DALAM KALANGAN MURID
1.0 PENGENALAN
Pendidikan merupakan suatu aspek yang
amat penting dalam usaha membangunkan negara serta minda rakyat kelas pertama.
Pendidikan yang berkualiti menjadi tunjang kepada negara bagi melahirkan
generasi yang mampu bersaing dalam era globalisasi kini. Tambahan lagi dalam
Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), pendidikan telah digariskan sebagai salah
satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan
titik permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian,
RMK10 menetapkan umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6
tahun ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi membolehkan murid memperoleh
pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal (Rancangan Malaysia Kesepuluh,
2010).
Namun
bagitu, dunia pendidikan bukanlah suatu bidang yang mudah untuk dikemudikan.
Dunia pendidikan tidak lari daripada menghadapi pelbagai isu dan cabaran sama
ada secara nasional mahu pun global. Setiap isu yang mendatangi dunia
pendidikan pasti akan mencuri tumpuan segenap lapisan masyarakat. Lantaran itu,
individu yang paling terkesan dalam isu-isu yang timbul pastinya insan yang
bergelar “guru”. Saban hari, saban tahun, guru tidak pernah lekang daripada
menghadapi isu-isu yang timbul sama ada isu pendidikan yang dipolitikkan,
bebanan kerja guru serta bebanan tingkah laku murid, semuanya ditangani satu
per satu tanpa membelakangkan etika keprofesionalan keguruannya.
Oleh
itu, dalam penulisan ini saya akan mengupas salah satu isu yang membelenggui
guru-guru di sekolah, iaitu isu yang bertajuk “Tekanan Emosi dalam Kalangan
Murid”. Tekanan atau juga disebut sebagai stres merupakan satu bentuk
kecelaruan emosi yang kerap berlaku pada masa kini. Individu yang menderita
akibat tekanan biasanya menunjukkan pemikiran yang negatif, enggan melibatkan
diri dalam aktiviti dan kesukaran berinteraksi secara interpersonal (Abbas
& Lida, 2013). Dalam satu kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada
tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati
masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%, meningkat
sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan Melayu, 2011). Ternyata dapatan
kajian ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian dengan lebih serius.
Malahan tiada kajian lanjutan yang menunjukkan masalah ini mengalami penurunan.
Tekanan
juga disifatkan dapat menyebabkan beberapa perubahan tingkah laku dan tubuh
badan seperti kesakitan fizikal, gangguan emosi dan psikologi serta kemerosotan
prestasi seseorang (Jerrold dlm. Mohamad Zaid et.al, 2009). Isu ini mungkin
dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun jika dibiarkan tanpa jalan
penyelesaian ia akan memberikan kesan jangka panjang yang memudaratkan. Hal ini
disokong oleh Sapora (2001) dalam penulisannya menyatakan bahawa telah banyak
kajian yang dilakukan mendapati tekanan atau stres mempunyai hubungan yang kuat
dalam mempengaruhi pencapaian akdemik pelajar. Menguatkan lagi kenyataan ini,
Campbell dan Svenson (dlm. Mastura et.al, 2007) menegaskan apabila tekanan
dilihat dari aspek negatif atau terlalu tinggi ianya boleh mendatangkan kesan
negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang lantas menjadikan
ia suatu fenomena yang membimbangkan.
Emosi
pula membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas
seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku
seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad
Uthman Najati dlm. Fariza, 2005). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula
menyebut emosi sebagai satu perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah,
takut, ketawa dan menangis yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi
serta fisiologi pada seseorang. Oleh itu, emosi atau gangguan emosi akan
memberi kesan buruk kepada individu yang mengalaminya jika tidak dapat dikawal
dengan baik. Rentetan daripada Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia
yang dijalankan, didapati bahawa 11% golongan muda berusia 16 tahun hingga 24
tahun yang menghadapi tekanan emosi ini pernah terfikir untuk membunuh diri
(Dewan Siswa, 2012).
Maka,
dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam kalangan murid boleh dikatakan
sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan emosinya akibat
daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar kemampuan mereka. Akta
Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa kanak-kanak dikategorikan mengalami
gangguan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi sehingga menyebabkan
gangguan mental dan tingkah laku, kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri dan
menunjukkan tingkah laki permusuhan. Justeru, setiap isu yang membawa kepada
tekanan emosi murid perlu ditangani segera agar matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.
2.0 ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi dalam kalangan murid
boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya kegelisahan, menunjukkan tingkah
laku distruptif dan mengasingkan diri daripada elemen-elemen di
persekitarannya. Sebagai seorang guru pelatih, saya telah pernah ditempatkan di
beberapa buah sekolah bagi menjalani Program Berasaskan Sekolah (PBS) dan
Praktikum. Peluang mengenali empat buah sekolah semasa PBS dan tiga buah
sekolah semasa menjalani praktikum banyak memberi pendedahan kepada saya
isu-isu yang berlaku di sekolah sama ada melibatkan pentadbir, guru mahu pun
murid-murid. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid juga pernah dihadapi
beberapa kali.
Berdasarkan
kepada pengalaman saya menjalani praktikum pada kali pertama di Sekolah
Kebangsaan Bertam Ulu, saya telah berhadapan dengan seorang murid yang boleh
dikategorikan mengalami tekanan emosi. Murid ini saya namakan sebagai Ahmad
(bukan nama sebenar), merupakan murid Tahun 4 Harmoni. Saya ditugaskan untuk
mengajar subjek Matematik kelas ini sepanjang tempoh satu bulan praktikum.
Murid ini sering menunjukkan pemberontakan dari segi tingkah lakunya. Pada
awalnya, saya tidak perasan akan sikap yang ditunjukkan oleh murid ini dan
menganggap tingkah laku yang ditunjukkan hanya sekadar mahu menarik perhatian
saya sebagai guru baru mereka. Namun begitu, tingkah laku distruptif yang kerap
kali ditunjukkan mendorong saya untuk menyelidik serba sedikit latar belakang
murid ini.
Saya
banyak bertanyakan kepada guru kelas murid tersebut, rakan-rakan guru lain dan
juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) tentang murid tersebut. Agak
memeranjatkan apabila setiap guru yang ditanya pasti memberikan respons
negatif. Ahmad didapati sememangnya bermasalah sedari berada di Tahun 1 lagi.
Beliau juga tidak disenangi oleh rakan-rakan yang lain. Malahan rakan-rakannya
turut menjauhkan diri daripadanya kerana takut akan sikapnya. Menurut GPK HEM
tersebut, Ahmad mengalami tekanan disebabkan faktor keluarga. Ahmad hanya
mempunyai dua orang adik-beradik. Namun begitu, hanya adiknya sahaja dipelihara
oleh ibu bapanya manakala Ahmad dijaga sepenuhnya oleh neneknya. Ibu bapa Ahmad
tidak dapat memberikan tumpuan kepadanya kerana kedua-duanya bekerja di kilang
dan jadual kerja yang tidak menentu menyebabkan mereka tiada masa bersama-sama.
Semasa
mengajar di kelas tersebut, berlaku beberapa insiden yang melibatkan antara beliau
dengan saya sehingga mengundang kemarahan guru-guru lain kerana Ahmad dianggap
tidak menghormati saya walaupun saya hanya guru praktikum. Insiden pertama
ialah ketika melakukan aktiviti bersama-sama di dalam kelas, saya telah menegur
Ahmad kerana menconteng mejanya. Disebabkan rasa tidak puas hati, Ahmad telah
menggumpalkan kertas di atas mejanya dan melemparkan ke arah saya yang betul-betul
berada di hadapannya. Insiden kedua pula berlaku semasa saya sedang diselia
bagi penyeliaan kali terakhir oleh pensyarah dan ia benar-benar menguji
kesabaran saya. Ahmad tidak berpuas hati dengan murid-murid perempuan di dalam
kelasnya yang mengatakan beliau memunyai bulu mata lentik seperti perempuan
telah bertindak menolak meja-meja di dalam kelas tersebut dan mengeluarkan kata-kata
kesat. Tingkah laku – tingkah laku bermasalah ini pernah saya catatkan dalam
jurnal mingguan ketika itu (rujuk lampiran).
Pada awalnya saya selalu
bertegas dengannya kerana tidak mahu sikapnya mempengaruhi rakan-rakannya yang
lain. Namun, setelah mengetahui latar belakang dan masalah yang dihadapi oleh
Ahmad saya cuba untuk memahaminya dengan lebih baik. Pada pandangan saya, adalah
amat tidak adil sekiranya semua guru bertindak untuk menghukum Ahmad tanpa
mengambil kira permasalahan yang dihadapinya. Rata-rata guru yang mengenali dan
pernah mengajar Ahmad hanya menceritakan sikap negatifnya sahaja tetapi tidak
mengetahui latar belakang Ahmad. Hukuman demi hukuman yang diberikan kepada
Ahmad sebenarnya lebih banyak mengeruhkan keadaan. Sudahlah Ahmad tidak
mendapat kasih sayang sepenuhnya dan selayaknya di rumah, di sekolah pula kasih
sayang yang diharapkan daripada guru-guru juga tidak kesampaian.
Menurut Haliza dan Joy
(2009), terdapat beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid bagi
mendapatkan perhatian guru, antaranya ialah murid sering membuat tingkah laku
yang mengundang kemarahan guru sama seperti kes ini. Sebagai seorang guru yang
bertanggungjawab, guru tidak boleh menghukum murid dengan sewenang-wenangnya.
Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang dihadapi di rumah akan bertambah
teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid, murid akan melihat persekitaran
sekolah sebagai satu ancaman baharu. Selanjutnya, ia akan mengundang tingkah
laku distruptif lain dan mungkin akan menimbulkan gejala lain seperti ponteng
dan pengambilan dadah untuk menenangkan diri sendiri.
Dalam
kes berasingan, pengalaman ini dihadapi ketika saya menjalani Praktikum Fasa
III di Sekolah Kebangsaan Bongek, Rembau. Murid yang menghadapi gangguan emosi
ini merupakan murid Tahun 5, iaitu Tuah (bukan nama sebenar). Sama seperti kes
Ahmad, Tuah mengalami gangguan emosi kerana faktor keluarga dan menunjukkan
tingkah laku yang tidak menyenangkan. Menurut Noriati et.al (2010), murid yang
mengalami gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas,
tidak sabar, kerap mengamuk dan berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang
kurang sesuai dengan situasi-situasi normal. Sikap-sikap yang dinyatakan sering
ditunjukkan oleh Tuah apabila beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau
seorang yang pendiam dan pasif di dalam kelas. Sikap ‘luar biasa’ Tuah ini
sememangnya amat bertentangan dengan penampilan luarannya. Namun begitu,
rakan-rakan Tuah amat memahami dirinya dan tidak pernah meminggirkan atau
menyisihkan Tuah.
Tempoh
praktikum selama tiga bulan memberikan saya ruang untuk mengenali Tuah dengan
lebih dekat. Saya tidak mengajar kelas Tuah tetapi saya mengenalinya semasa
melatih pasukan Bicara Berirama sekolah dan Tuah merupakan salah seorang ahli
dalam pasukan tersebut. Sesi latihan yang dijalankan kerap terganggu akibat
daripada sikap Tuah yang sukar dikawal. Walaupun beliau seorang yang pendiam,
beliau tidak gemar apabila rakan-rakannya mengusiknya atau terusiknya secara
tidak sengaja. Semasa sesi latihan Tuah pernah bertumbuk dengan murid lain
hanya kerana murid tersebut terlanggar sikunya. Tuah terus mengamuk dan
meninggalkan bilik latihan selepas saya meleraikan pergaduhan tersebut. Hal ini
menunjukkan Tuah sedang mengalami gangguan emosi kerana menurut Lailawati
(2006), masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid kebanyakannya adalah
disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi seseorang yang mempunyai emosi yang tinggi
dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku sosial yang rendah (Eisenberg
& Febes dlm. Lailawati, 2006).
Apabila terjadinya
kejadian tersebut, saya banyak bertanya kepada rakan-rakan guru tentang sikap
Tuah. Guru-guru banyak menasihati saya agar tidak menegurnya sekiranya beliau
menunjukkan tanda-tanda kemarahan. Kejadian Tuah bertumbuk dengan murid lain
semasa perhimpunan pagi atau di dalam kelas juga seperti sudah menjadi
kebiasaan dan selalunya guru-guru akan menarik murid yang terlibat dan membiarkan
Tuah bersendirian untuk menenangkan dirinya. Oleh itu, semasa tempoh internship
saya telah memberikan soal selidik kepada dua orang guru yang sangat mengenali
Tuah untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci. Hal ini kerana sebelum ini
saya hanya mendengar cerita tentang Tuah melalui lisan sahaja. Guru yang disoal
selidik merupakan guru yang pernah mengajar Tuah beberapa kali sehingga kini.
Guru-guru tersebut juga tidak terlepas daripada menghadapi insiden-insiden yang
melibatkan gangguan emosi dalam diri Tuah.
Berdasarkan soal selidik
yang diberi (rujuk lampiran), Tuah didapati mengalami gangguan emosi setelah
kehilangan ibunya dalam suatu kemalangan jalan raya semasa beliau berusia 6
tahun. Sejak dari itu, Tuah menjadi seorang yang pendiam, sensitif dan rindukan
kasih sayang daripada ibunya. Ayah Tuah merupakan guru di sekolah ini dan
karakter yang ditunjukkan oleh ayah Tuah juga turut menggambarkan beliau amat
terkesan dengan kejadian tersebut. Ayah Tuah seorang guru yang tidak banyak
bercakap dan banyak melakukan kerja sendiri. Jelas sekali kehilangan ibunya
merupakan faktor utama yang menyebabkan Tuah sering mengalami gangguan emosi.
Tambahan lagi Tuah kehilangan ibunya pada usia yang sangat kecil, iaitu pada fasa
sepatutnya beliau mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu.
Pada pandangan saya, guru-guru
perlu mengambil berat terhadap gangguan emosi yang dihadapi oleh Tuah sehingga
menyebabkan beliau sering bertindak agresif. Hal ini kerana Tuah merupakan
seorang murid yang cerdas tetapi akibat gangguan-gangguan yang diterima, ia
memberi kesan kepada pencapaian akademiknya. Soal selidik yang diberikan kepada
gurunya juga menunjukkan pencapaian akademik Tuah terganggu kerana sikapnya
yang sering keluar kelas apabila berhadapan situasi yang tidak menyenangkan. Sapora
(2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan kesan yang
negatif ke atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan positif. Menurut
Chan dan Rodziah (2012) dalam kajian mereka turut mendapati bahawa prestasi
akademik murid yang dikaji yang mengalami gangguan emosi daripada pelbagai
faktor berada pada tahap yang rendah. Hal ini kerana ketidakupayaan murid untuk
menangani gangguan yang dihadapi menyebabkan mereka terus mengabaikan
pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah mencatatkan beberapa kajian oleh
pengkaji-pengkaji barat dalam kajiannya antaranya ialah Allchin (1975), Ghuman
dan Sarles (1998) serta Weiner (1970) dan Adelson (1980) yang menunjukkan gangguan
emosi memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar.
Selain itu, guru-guru
perlu menangani konflik yang dihadapi oleh Tuah agar ia tidak menular dalam
kalangan rakan-rakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah terpengaruh dengan
rakan-rakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif. Menurut Haliza dan
Joy (2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh mendatangkan masalah
disiplin lain dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai nilai
dan kecenderungan yang sama. Sikap guru yang hanya membiarkan tindakan Tuah
tanpa mengenakan sebarang tindakan akan mempengaruhi murid lain untuk melakukan
tindakan yang sama. Hal ini kerana murid lain akan beranggapan bahawa tidak
menjadi suatu kesalahan untuk melakukan tindakan seperti Tuah. Hukuman atau
dendaan perlu dikenakan kepada Tuah bukan untuk menghukumnya secara terus
tetapi untuk membantunya menstabilkan emosinya. Di samping itu, tindakan
tersebut akan memberi gambaran kepada murid bahawa setiap murid yang melakukan
kesalahan tidak akan terlepas dari sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah
mereka merupakan guru di sekolah tersebut.
3.0 JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Berdasarkan kedua-dua kes yang
diceritakan, Ahmad dan Tuah didapati mengalami gangguan emosi ringan. Menurut Syed
Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami gangguan emosi ringan
biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya dan masih mampu untuk
mengawal diri masing-masing. Malahan Tin (2000) pula menyifatkan murid-murid
yang mengalami gangguan emosi akan mempamerkan kehidupan emosi yang tidak
stabil, tidak mampu bertindak balas dengan tepat sukar mengawal dirinya
sendiri. Tambahan lagi Tin turut menggariskan beberapa tingkah laku yang menunjukkan
gangguan emosi ringan seperti pemalu, sering suka menyendiri, mudah
tersinggung, sering marah, tidak mahu mengalah, kurang disenangi oleh
rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan memukul rakan atau guru.
Berikutan
daripada gangguan emosi yang dialami oleh Ahmad dan Tuah, mereka telah
menunjukkan tanda-tanda seperti selalu mengamuk, cepat marah dan pencapaian
akademik yang merosot. Menurut Sue et.al (dlm. Azizi dan Tan, 2007), individu
yang mengalami gangguan emosi boleh mendatangkan ketidakselesaan yang subjektif
atau mengganggu kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal atau
kedua-duanya sekali sehingga boleh menyebabkan sindrom kemurungan dan mania. Tanda-tanda
yang dialami oleh Ahmad dan Tuah boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat
sekiranya tidak diatasi dengan lebih cepat. Ahmad dan Tuah juga memerlukan
sokongan dan bantuan daripada persekitarannya untuk mengatasi gangguan tersebut
memandangkan tahap kognitif mereka yang masih rendah.
Azizi
dan Tan (2007) melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda seperti Ahmad dan
Tuah sebagai individu yang menghidap sindrom mania. Hal ini kerana menurut
penulisannya, individu yang mengalami sindrom ini biasanya berasa riang dan
bertenaga tetapi mereka mudah melenting lebih-lebih lagi apabila dikritik atau
dihalang daripada melakukan sesuatu yang diingini. Tambahnya lagi, individu
tersebut mengalami masalah ketenangan perasaan yang tidak normal, misalnya
gagal untuk memberikan tindak balas yang sepatutnya apabila menerima berita
buruk. Menurut Mary (2001), sindrom mania merupakan penyakit yang membawa
kepada perubahan emosi, pemikiran, dan tingkah laku. Penyakit ini dikatakan
menyerang hampir dua juta penduduk Amerika Syarikat pada setiap tahun.
4.0 FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN
MURID
Melalui kedua-dua kes yang dialami,
kedua-dua murid didapati mengalami gangguan emosi disebabkan faktor keluarga. Keluarga sememangnya
sebuah institusi yang memainkan peranan penting bagi setiap individu terutama
anak-anak kecil. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013) menyatakan ibu bapa
merupakan pengaruh yang besar dalam membentuk tingkah laku anak sejak dari
kecil dan kecuaian ibu bapa untuk memahami peranan mereka akan menjadikan
anak-anak hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidupnya. Perhubungan
negatif antara ibu bapa dengan anak-anak boleh menimbulkan konflik yang tinggi
dan memberi tekanan terhadap ibu bapa dan anak-anak. Montemayor (dlm. Sapora,
2005) berpendapat bahawa satu daripada konflik yang berlaku dalam keluarga akan
menimbulkan emosi yang kuat dan tidak sihat. Tambahan lagi menurut Kasmini
Kassim, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia, gangguan emosi yang
sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan
reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka (dlm. Fariza, 2005).
Dalam
kes Ahmad, kehidupan ibu bapanya yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa
untuk bersama-sama dengannya merupakan punca utama kepada gangguan emosi yang
dihadapi oleh beliau. Sebagai ibu bapa, ibu bapa Ahmad perlu faham akan
tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah
sekadar zahiriahnya sahaja dengan menyediakan tempat tinggal mahu pun
kelengkapan peribadi. Perkara yang lebih penting ialah belaian kasih sayang ibu
bapa terhadap anaknya. Shaffer et.al. (2011) dalam dapatan kajiannya menulis
bahawa risiko kontekstual apabila berada dalam keluarga yang tidak menyokong
antara satu sama lain atau “unsupportive
parenting” memberi kesan terhadap emosi negatif kanak-kanak. Oleh itu,
kegagalan ibu bapa Ahmad memenuhi keperluan emosinya menyebabkan emosi Ahmad
terganggu dan mencari ruang untuk melempiaskan emosinya ketika berada di
sekolah. Lantaran itu, pelbagai salah laku dilakukan oleh Ahmad.
Berlainan
dengan kes Tuah, faktor keluarga yang menyebabkan gangguan emosi terhadap
dirinya lebih bersifat semula jadi. Hal ini kerana Tuah mula mengalami gangguan
emosi apabila kehilangan ibunya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Perkara ini menyebabkan Tuah kekurangan kasih sayang dan dahagakan belaian dari
ibunya. Berdasarkan soal selidik yang dijalankan, guru yang menjawab soal
selidik tersebut telah menceritakan pengalaman beliau terhadap beliau. Menurut
guru tersebut, semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan
murid-murid disoal tentang keluarga mereka, murid-murid lain memberi respons
dan menceritakan kisah keluarga mereka. Walau bagaimanapun, Tuah enggan
menceritakan perihal keluarganya dan bertindak mengoyakkan buku latihannya lalu
keluar dari kelas.
Menurut
Azizi dan Badrulzaman (2010), murid yang mengalami gangguan emosi ini gagal
melihat keluarga sebagai suatu persekitaran yang sihat dan boleh memberikan
kebahagiaan serta rasa seronok kepada mereka. Tinjauan terhadap kajian-kajian
lain seperti Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz (1997) (dlm. Azizi dan Badrulzaman,
2010) mencatatkan bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku
merupakan hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan. Fariza (2005)
dalam penulisannya juga menyatakan faktor keluarga turut menumbang kepada
tekanan emosi murid-murid. Emosi remaja dikatakan akan menjadi stabil jika
keluarga bahagia, sebaliknya jika berada dalam keluarga yang kucar-kacir maka
emosi murid akan terganggu. Azizi Yahaya, Nordin Yahaya dan Juriah Bachok
(2010) dalam kajiannya terhadap hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi
menunjukkan bahawa faktor keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9%
selepas jantina. Hal ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang
sangat penting dalam mempengaruhi emosi murid-murid.
Mengulas
lebih lanjut faktor gangguan emosi dalam kalangan murid ini, Kasmini Kassim
(1998) dalam kajiannya bertajuk “Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma
Terselindung” menyatakan gangguan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh
berlaku disebabkan tertumpahnya masalah dan konflik orang dewasa kepada
kanak-kanak tersebut. Dalam kajian tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino,
Gatmann dan Sealey et.al. (1986) yang menggariskan lima tingkah laku ibu bapa
atau penjaga yang dikira sebagai mendera emosi kanak-kanak, iaitu penolakan,
pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada
kelima-lima tingkah laku tersebut, tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh
penjaga boleh dikaitkan dengan kes Ahmad. Tingkah laku sikap tidak peduli ini
didefinisikan sebagai menolak tindak balas emosi, yang mana tingkah laku ibu
bapa atau penjaga yang dengan sengaja tidak mempedulikan usaha anak untuk
mendapatkan kasih sayang daripada mereka.
Tambahan
lagi, kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini melayan anak mereka
secara mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak mempunyai perasaan
terhadap anak-anak malahan tidak mencuba untuk merapati dan membelai anak-anak
tersebut sehingga menyebabkan berlakunya konflik emosi dalam diri kanak-kanak
tersebut. Dalam kes Ahmad yang dijaga sepenuhnya oleh neneknya, walaupun Ahmad
disediakan kemudahan-kemudahan fizikal seperti tempat tinggal dan pakaian yang
mencukupi oleh neneknya, Ahmad tidak berpeluang untuk bermanja-manja dan
mendapat kasih sayang secara sentuhan. Hal ini kerana nenek Ahmad terpaksa
keluar mencari rezeki walaupun pada usia lanjut bagi memastikan mereka
mempunyai perbelanjaan yang mencukupi. Sebagai kanak-kanak yang mempunyai ramai
rakan seusianya dan mempunyai keluarga yang lengkap dan bahagia, tindakan atau
keadaan yang dialami oleh Ahmad bertentangan dengan fitrahnya yang mahukan
kasih sayang daripada ibu bapanya mahu pun neneknya sebagai penjaga.
Selain
itu, pada pandangan saya dalam kes Tuah pula kehilangan ibunya sejak dari kecil
sehingga menyebabkannya mengalami gangguan emosi merupakan lumrah kehidupan.
Kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas ayahnya kerana sebaik mana
pun ayahnya memberi layanan kepada Tuah, kasih seorang ibu tiada galang
gantinya. Semasa saya menjalani praktikum dan berada bersama-sama ayah Tuah
yang juga guru di sekolah terbabit, saya melihat ayah Tuah sebagai seorang yang
cukup memahami anaknya. Guru tersebut tidak pernah berkasar bahasa dengan Tuah
malahan lebih banyak memberi ruang kepada Tuah untuk menenangkan diri sendiri
apabila menghadapi masalah. Sebagai contohnya, semasa Tuah dimarahi oleh
seorang guru lain di makmal komputer, yang mana pada waktu itu ayahnya turut
berada sama dalam situasi tersebut; Tuah telah bertindak keluar dari makmal
tersebut dan melarikan diri sehingga keluar sekolah.
Rentetan
daripada itu, ayah Tuah telah bertindak mengekori Tuah dan menghantarnya pulang
kerana keengganan Tuah untuk kembali ke sekolah. Pada keesokan harinya, apabila
rakan-rakan guru bertanya tentang situasi Tuah, ayah Tuah memberitahu bahawa
Tuah sememangnya tidak akan melayan pujukan ayahnya dan hanya boleh menerima
pujukan kakaknya. Maka jelaslah dapat dilihat di sini Tuah masih memerlukan
insan yang bergelar wanita untuk memahami isi hatinya. Tidak mustahil dalam hal
ini kakak Tuah telah memainkan peranan yang amat besar dalam hidupnya sehingga
Tuah dapat menerima kakaknya ibarat ibunya sendiri. Fitrah manusia juga
terutama bagi kanak-kanak, kanak-kanak perempuan akan lebih mudah mendekati
ayahnya manakala kanak-kanak lelaki akan lebih seronok mendampingi ibunya. Hal
ini turut disokong oleh Teori Perkembangan Sosio-Emosi Sigmund Freud, iaitu
kanak-kanak lelaki akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih tertarik
kepada ibunya manakala kanak-kanak perempuan akan mengalami elektra kompleks
iaitu tertarik kepada ayahnya (Zakaria et.al., 2012).
Berdasarkan
faktor-faktor yang dinyatakan, Norly (2010) menyifatkan keluarga atau ibu bapa
dianggap sebagai sosialisasi yang mempengaruhi tahun-tahun awal kanak-kanak
seharusnya menjadi model ekspresi emosi kepada kanak-kanak. Hal ini kerana
berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi
masalah dalam melahirkan perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah
laku bermasalah yang tinggi. Justeru, kajian tersebut menyarankan agar
kanak-kanak dan ibu bapa mempertingkatkan kemahiran emosi sesama mereka.
5.0 PERANAN
GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi yang dialami oleh
murid-murid pada masa kini sering dilihat berpunca dari rumah dan keluarga yang
kucar-kacir. Namun begitu, guru memainkan peranan penting bagi membantu
murid-murid menangani masalah tersebut. Hal ini kerana murid-murid menghabiskan
masa hampir 8 jam berada di sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini
melebihi masa mereka bersama-sama ibu bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012)
menulis disebabkan murid menghabiskan banyak masa di sekolah, guru juga menjadi
pemangkin kepada kecerdasan emosi murid. Tambahnya lagi Pusat Perkembangan
Kurikulum turut menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan
Islam dan Pendidikan Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun
tiada satu subjek khas bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum.
Justeru, di sinilah guru perlu mencari ruang bagi membangunkan perkembangan
emosi murid secara tidak langsung dalam kurikulum yang dijalankan.
Mohd
Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen yang membolehkan guru
membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi. Antaranya ialah guru
perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan belas kasihan.
Dalam aspek mempamerkan sentuhan
peribadi (personal touch),
guru-guru perlu berhubung dengan murid-muridnya secara profesional. Guru-guru
akan mendorong murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam kelas, mengambil
berat dan memahami setiap muridnya secara personal serta cuba memahami masalah
yang dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru berpeluang untuk
mengenali personaliti murid dengan lebih dekat di samping mengetahui latar
belakang keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang diperoleh oleh guru
dapat digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan emosi yang yang dilalui.
Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan memberi layanan yang
berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan masalah keluarga yang
dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak memahami masalah yang
dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan mencari jalan
alternatif bagi memuaskan dirinya.
Dari
segi menunjukkan belas kasihan pula,
guru akan sentiasa mengambil berat masalah peribadi yang dihadapi oleh murid.
Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh guru memberi peluang kepada murid untuk
berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang besar
daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada
individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar
yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan kasih
sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan lagi guru
sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid ketika berada
di sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk mempamerkan rasa belas
kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid.
Abdul
Ghani dan Abd. Rahman (2009) pula berpendapat bagi menguruskan murid yang
menghadapi gangguan emosi yang menunjukkan masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan.
Hal ini kerana mereka mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi
membentuk tingkah laku murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran
kritis merupakan elemen dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting dalam
aspek kemanusiaan ini ialah keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan
kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini akan membantu guru mengurus tingkah laku
murid menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan membentuk sahsiah murid.
Oleh itu, dalam hal ini guru merupakan model terbaik bagi murid dan hubungan
baik antara guru dan murid boleh membawa kepada kecerdasan emosi murid yang
lebih baik.
Roslee
et.al. (2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan kaunseling kelompok boleh digunakan bagi menangani
masalah emosi dalam kalangan murid. Kajian yang dijalankan terhadap kelompok
anak-anak yatim terpilih mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada
perubahan sikap yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal
ini kerana dalam kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan
perasaan yang negatif dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli
kelompok. May dan Housley (dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling
kelompok boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara
lebih berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara
terperinci. Dalam kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai
kemahiran seperti membina perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas,
berempati, dan memberi dorongan minima yang dapat membantu melancarkan proses
kaunseling kelompok yang dijalankan.
6.0 KESIMPULAN
Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan,
jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi dalam kalangan murid merupakan isu
yang acap kali berlaku di sekolah. Tekanan emosi yang ditunjukkan dalam
pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan pengetahuan guru untuk menanganinya
dengan baik. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid turut mendorong Kementerian
Kesihatan menjalankan kajian melalui projek rintis Program Minda Sihat
Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi, Utusan Malaysia 2011). Beberapa
buah sekolah menengah di seluruh Malaysia telah dipilih bagi menjalani projek
rintis ini.
Menurut Menteri Kesihatan
Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis tersebut akan
diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan
dalam kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan
perkara lebih serius berlaku. Keprihatinan pihak kementerian dalam memandang
serius isu tekanan yang dihadapi oleh murid amat wajar. Hal ini kerana murid
yang berada dalam keadaan tertekan pasti akan mengundang pelbagai masalah lain
di samping tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu,
seharusnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat
setempat saling membantu dalam menangani isu ini.
>.< Beluncas Biru
terima kasih ats perkongsian ilmu
ReplyDelete